KESAN POSITIF DAN NEGATIF HORMON TUMBUHAN
Kini,
bidang pertanian amat penting kerana sektor ini merupakan salah satu sumber
makanan utama kepada kita untuk meneruskan kehidupan seharian. Jika
diperhatikan populasi masyarakat di
negara kita semakin bertambah dari tahun ke tahun menyebabkan sumber makanan
menjadi semakin berkurang. Oleh sebab itu, individu yang terlibat dalam sektor
pertanian mestilah mencari inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran tanaman agar
masalah ini dapat diatasi. Salah satu
cara bagi meningkatkan hasil tanaman tersebut adalah penggunaan hormon tumbuhan
yang sesuai. Mengikut kajian hormon tumbuhan merupakan pemangkin kepada
peningkatan hasil tanaman disamping faktor-faktor lain juga turut
mempengaruhinya. Hormon tumbuhan adalah bahan kimia yang mampu menggalakkan
pertumbuhan, perkembangan dan pergerakan tanaman. Antara hormon yang digunakan
bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran hasil sumber makanan iaitu
hormon auksin, hormon sitokinin, hormon giberelin, hormon etilena dan asid
absisik. Terdapat beberapa kesan positif serta negatif hormon tumbuhan yang
perlu diketahui dalam inisiatif meningkatkan lagi hasil tanaman bidang
pertanian.
Antara
hormon yang kerap digunakan dalam bidang
pertanian ini iaitu hormon etilena.
Hormon etilena berbentuk gas
apabila dalam keadaan semula jadi dan struktur kimianya sangat sederhana
sekali. Bahan pengawalaturnya adalah ethephon dan ethrel. Selain itu, hormon
gas etilena ini juga dihasilkan dari buah yang sudah tua. Antara kebaikan menggunakan hormon ini dalam
sektor pertanian adalah dapat mematangkan buah dalam jangka masa pendek iaitu
buah menjadi cepat masak contohnya pada
buah tomato, pisang dan epal. Untuk mematangkan buah tersebut mestilah diperam
dengan cara diberikan etilena iaitu buah
yang sudah tua serta masih berwarna hijau disimpan di dalam kantung ataupun
guni yang tertutup supaya buah tersebut cepat masak. Selain itu, penggunaan
hormon etilena juga menyebabkan buah masak dengan serentak dalam kuantiti yang
banyak. Hal ini penting kerana sumber makanan akan bertambah malahan buah
tersebut juga mudah untuk dikomersialkan. Di samping itu, hormon etilena juga
berfungsi dalam merangsang percambahan biji benih semua jenis tanaman
terutamanya tanaman berbuah. Kebaikan daripada percambahan biji benih mudah
dirangsang ini adalah memudahkan para petani untuk menjaganya serta tidak
memerlukan penjagaan yang rapi bagi memastikan pertumbuhan yang sihat.
Seterusnya,
hormon auksin yang dalam bahasa yunaninya bermaksud tumbuh. Bahan pengawalatur
bagi hormon ini adalah asid naftalena, asid indol, 2,4-D, 2,4,5-T dan MCPA.
Hormon auksin sebenarnya dihasilkan pada bahagian koleoptil pucuk tumbuhan. Antara kelebihan memberikan hormon auksin
kepada tanaman iaitu dapat membantu dalam proses pemanjangan serta pertumbuhan
sel. Apabila hormon auksin digunakan pada sebatang pokok, hormon tersebut akan
tersebar ke seluruh bahagian pokok dan akan mempengaruhi pemanjangan serta
pembelahan sel. Fenomena ini akan menyebabkan pokok menjadi tinggi serta
membahagi secara aktif untuk menghasilkan
pokok yang cepat matang supaya menjimatkan masa pertumbuhannya. Selain itu, kelebihan hormon auksin iaitu
mengurangi jumlah biji dalam buah. Ini akan memudahkan kanak-kanak untuk makan
buah tersebut sekaligus tidak membahayakan keselamatan mereka kerana tidak
tertelan biji. Golongan warga emas juga dapat menikmati buah tersebut kerana
tiada biji yang akan memberikan kesukaran kepada mereka untuk menelannya. Proses penggunaan hormon untuk menghasilkan
buah tanpa biji ini dikenali sebagai partenokarpi.
Seterusnya,
penggunaan hormon tumbuhan yang dapat memberi banyak kebaikan dalam bidang
pertanian iaitu hormon giberelin. Giberelin merupakan hormon yang agak mirip
dengan hormon auksin tetapi fungsinya sedikit berbeza. Hormon ini ditemukan oleh
P. kurosawa pada tahun 1926 di Jepun. Bahan pengawalatur bagi hormon ini ialah asid
giberelik. Antara fungsi hormon giberelin adalah merangsang pertumbuhan sama
ada dari segi bahagian akar, batang bahkan juga daun. Dalam bidang pertanian
hormon giberelin amat penting dalam
mengatasi masalah kekerdilan pada tanaman yang berpunca daripada adanya mutasi. Tanaman yang kerdil akan kembali
menjadi normal apabila diberikan hormon giberelin. Sebagai contohnya, mengikut
kajian apabila asid giberelik diberikan kepada tanaman kacang yang kerdil
tanaman kacang tersebut akan menjadi tinggi. Hal ini penting dalam memastikan
hasil tanaman tersebut benar-benar berkualiti serta memberikan kepuasan kepada
pembeli apabila dikomersialkan nanti. Seterusnya, giberelin juga menggalakkan
percambahan biji benih serta menggalakkan pembahagian sel dan pemanjangan sel
demi menghasilkan sebatang pokok yang matang agar sumber makanan tidak
berkurang dan berterusan.
Kesan
penggunaan dua jenis hormon yang berbeza akan menambahkan lagi kualiti tumbuhan
serta tanaman pokok terhadap bidang pertanian. Antara gabungan hormon yang akan meningkatkan
hasil tanaman adalah hormon auksin dan
hormon etilena. Antara kebaikan menggunakan hormon etilena serta hormon auksin
secara serentak adalah dapat memacu pendebungaan. Sebagai contohnya, penggabungan
dua jenis hormon yang berbeza ini telah diterapkan ke atas pokok mangga serta
pokok nenas. Hasil daripada pemberian hormon ini secara serentak dapat memacu
proses pembungaan sebelum waktunya. Ini akan memberikan keputusan yang baik
kepada kedua-dua pokok kerana buah akan cepat terhasil dan bersedia untuk
dipasarkan. Selain itu, buah yang
terhasil juga cepat masak serta tiada biji yang akan memberikan kesan kepada peningkatan hasil
tanaman. Proses inovasi ini juga akan
meningkatkan eksport dalam bidang pertanian kerana dapat menghasilkan buah yang
unik serta memberi kenikmatan kepada pembeli. Kebaikan hasil daripada
penggunaan kedua-dua hormon ini juga dapat melindungi kita daripada tertelan
biji dan isi buahnya juga banyak.
Walaubagaimanapun
penggunaan hormon dalam kuantiti yang salah juga akan memberikan impak negatif
terhadap tanaman dalam sektor pertanian. Antara keburukkan penggunaan hormon
auksin secara berlebihan akan menyebabkan pertumbuhan terbantut kerana pucuk tumbuhan yang pada sebelah sisinya
terkena cahaya matahari akan dihambat oleh cahaya matahari tersebut. Sementara
itu, pada sebelah sisi pucuk tumbuhan yang tidak terkena cahaya matahari akan
tumbuh dengan cepat serta panjang kerana hormon ini tidak kena pancaran sinaran
matahari. Hal ini akan menyebabkan pucuk tumbuhan akan cenderung mengikuti
matahari atau yang disebut fototropisme. Apabila pertumbuhan pokok terbantut
ini akan memberikan kesan terhadap hasil pengeluaran tanaman tersebut. Hal ini
akan menyebabkan produktiviti tanaman menjadi semakin berkurang dan tidak
berkualiti. Para petani tidak dapat menjual hasil tanaman mereka disebabkan
pertumbuhan pokok yang terbantut tersebut memberikan kesan pada hasil penjualan
mereka.
Sementara itu, hormon etilena juga mempunyai
keburukkannya yang tersendiri jika digunakan dalam kuantiti yang salah.
Penggunaan hormon etilena akan membantutkan pertumbuhan dan perkembangan akar,
daun, batang dan bunga. Hal ini akan melambatkan proses pertumbuhan pokok serta
akan mengambil tempoh yang panjang untuk kita menikmati hasilnya nanti.
Kuantiti buah yang dihasilkan juga sedikit serta buah tersebut akan menjadi
cepat rosak serta buruk sebelum sempat dieksport. Ini akan menyebabkan kerugian
kepada para peniaga kerana buah yang diperam dengan gas etilena selalunya tidak
tahan lama serta cepat rosak. Seterusnya, penggunaan hormon etilena juga
memberi kesan terhadap rasa asli buah-buahan tersebut. Keaslian rasa
buah-buahan yang diperam dengan gas etilena jauh berbeza berbanding masak
secara semulajadi kerana rasanya tidak semanis buah yang masak secara semulajadi
di atas pokok.
Di samping itu, hormon giberelin mempunyai
kekurangannya yang tersendiri iaitu pembungaan terganggu serta pematangan buah
turut terganggu. Seterusnya, tanaman yang diberikan hormon giberelin juga
memerlukan jangka masa panjang untuk melihat hasilnya disebabkan proses
pematangan buah serta pembungaan yang terganggu itu. Kesan daripada pembungaan
yang terganggu menyebabkan buah yang terhasil bersaiz kecil berbanding sebelum
ini. Ini akan menyebabkan para pembeli berasa tidak puas hati serta rugi jika
membeli buah tersebut kerana isi dalamnya tidak banyak serta tidak manis
disebabkan pertumbuhan yang terbantut serta pembungaan yang terganggu.
Kesimpulannya,
pertambahan populasi penduduk dari tahun ke tahun menyebabkan sektor pertanian
memerlukan transformasi dalam bidang tersebut agar dapat memenuhi keperluan
asas yang utama dalam kehidupan individu
itu iaitu makanan. Kesan penggunaan pelbagai
hormon tumbuhan dalam bidang pertanian sememangnya memberikan kelebihannya yang tersendiri
walaupun ada kekurangannya jika disalahgunakan. Oleh itu, para petani mestilah
bijak dalam mengawalatur kuantiti penggunaan hormon dalam tanaman mereka agar
hasil yang akan diperoleh nanti berkualiti untuk dikomersialkan serta selamat
untuk dimakan. Selain daripada hormon baja juga membantu dalam memajukan bidang
pertanian tetapi penggunaan hormon sememangnya amat memberikan impak positif
dalam meningkatkan kualiti tanaman jika tahu bagaimana kebaikan serta
keburukkan hormon tersebut memberi kesan terhadap bidang pertanian. Jika bidang pertanian mendapat sambutan tidak
kira dalam negara mahupun luar negara pasti bidang ini mampu memberi sumbangan
yang besar terhadap pembangunan negara serta masyarakat dapat meneruskan
kehidupan mereka kerana mempunyai sumber makanan yang mencukupi.