1.1PENGENALAN
Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan
sains dan teknologi maklumat ini, terdapat beberapa isu yang sedang hangat diperkatakan
di media massa mahupun dibibir masyarakat tempatan. Namun demikian, terbit satu isu yang kian membimbangkan serta
lebih memberikan tekanan kepada masyarakat global iaitu jenayah pemerdagangan manusia. Jenayah
pemerdagangan orang telah dianggap sebagai
satu bentuk perhambaan dan bentuk
ancaman terhadap hak asasi dan keselamatan manusia. Pemerdagangan
orang dapat ditakrifkan sebagai perdagangan
atau perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara
haram, termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa.
Berdasarkan
laporan yang dikeluarkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO)
menyatakan bahawa jenayah pemerdagangan orang talah mengaut keuntungan sebanyak
USD 44.3 bilion setahun selepas jenayah senjata api dan dadah. Isu pemerdagangan ini berlaku ekoran daripada
permintaan terhadap tenaga buruh yang tinggi, perkhidmatan seksual, jeratan
hutang dan kemiskinan. Pada kebiasaannya, mangsa yang terlibat biasanya tidak diberi
sebarang pilihan dan tidak dapat melaporkan penderitaan mereka akibat daripada
kawalan ketat oleh sindiket-sindiket tertentu. Negara-negara miskin
dan negara yang mempunyai populasi penduduk
yang ramai sering menjadi mangsa seperti China, Indonesia, Sri Lanka dan
sebagainya. Manakala hasil kajian mendapati Malaysia
khususnya Sabah adalah destinasi persinggahan untuk wanita dan kanak-kanak diperdagangkan
untuk eksploitasi seks secara komersial manakala lelaki dijadikan sebagai buruh
paksa.
Pendidikan amat penting kepada semua golongan tidak
kira yang muda mahupun yang sudah berusia lebih-lebih lagi pada zaman serba
moden ini. Kita mestilah keluar dari takuk lama agar tidak ketinggalan zaman
serta dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang acap kali berubah
mengikut peredaran masa. Peri pentingnya, pendidikan kerana dengan adanya pendidikan dapat mengelakkan
kita daripada ditipu dengan sewenang-wenangnya oleh golongan yang suka mengambil kesempatan.
Jadi, jelaslah bahawa setiap individu mestilah berhak untuk mendapatkan
pendidikan demi menjamin masa depan mereka.
1.2 ISI-ISI PENTING
1.2.1 CONTOH KES
Menurut statistik yang telah
dikeluarkan oleh Majlis Anti
Pemerdagangan (MAPO) melaporkan bahawa 149 kes ekslpotaisi seks di negara kita
dari tempoh 28 Februari 2008 sehingga 18 April 2010. Ini telah disusuli dengan
pelbagai kes iaitu perhambaan paksa sebanyak 42 kes, penyeludupan manusia 11 kes , penjualan bayi 5 kes dan eksplotaisi
kanak-kanak untuk visa 1 kes. MAPO juga
telah mengeluarkan statistik yang menunjukkan warga Indonesia telah mencatatkan
jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak
105 mangsa telah mendapat perintah perlindungan (PO).
Menurut kajian 2006 juga
menunjukkan 800,000 orang dibawa masuk melepasi sempadan negara pada setiap
tahun. Sementara itu, masih ada lagi jutaan manusia yang diperdagangkan ke
dalam negara tidak direkodkan. Mengikut kajian Jabatan Negara Amerika Syarikat
telah menganggarkan bahawa kegiatan pemerdagangan manusia di negara tersebut
telah mengaut keuntungan antara 1billion
dolar sehingga 3 billion dolar setahun. Manakala pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu menganggarkan kira-kira 150,000 ribu orang dan majoritinya adalah
golongan kanak-kanak yang diseludup dari
kawasan asia selatan pada setiap tahun.
1.2.2 GOLONGAN YANG SERING MENJADI MANGSA
Kebanyakannya
mangsa pemerdagangan terdiri daripada kanak-kanak kerana mereka senang untuk dikawal serta
tidak berani untuk berbuat apa-apa demi menyelamatkan diri ketika diculik untuk aktiviti ini. Selain
itu, pemikiran mereka yang tidak matang iaitu tidak dapat memikirkan di antara perkara yang benar mahupun yang
dusta akan memberikan kelebihan kepada penjenayah untuk menjalankan tugas
mereka bagi memperoleh keuntungan. Mereka akan dijual kepada orang kaya tanpa
mengikut prosedur yang sepatutnya.
Golongan wanita turut menjadi target utama dalam aktiviti ini
kerana mereka merupakan golongan yang lemah serta tiada kemampuan untuk melawan
kudrat penjenayah yang selalunya ialah lelaki. Mereka diperdagangkan bagi
tujuan menjaga seorang pengasuh yang tidak berlesen, menjadi pembantu rumah
tanpa permit dan sebagainya lagi. Hal ini amat menyedihkan kerana telah
menjatuhkan maruah bagi golongan wanita dan
hak-hak asasi tidak dijaga. Golongan remaja juga turut tidak ketinggalan
dalam menjadi sasaran utama para sindiket pemerdagangan orang ini. Remaja
digunakan untuk menjadi keldai dadah di negara luar demi mengaut keuntungan
yang besar dan segera kepada para penjenayah yang terlibat dalam permasalahan
ini.
1.2.3 FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA PEMERDAGANGAN MANUSIA
Setelah
dikaji serta diperhatikan mendalam terdapat beberapa faktor yang menyumbang
kepada berlakunya isu pemerdagangan manusia seantero dunia. Antara yang utama ialah
terdapatnya unsur rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan menyebabkan isu ini sukar ditangani walaupun
beberapa usaha telah dilaksanakan. Pegawai kerajaan yang tidak jujur dalam
pekerjaannya dan mudah menerima rasuah sering kali dimanfaatkan oleh para
sindiket pemerdagangan orang ini untuk menjalankan aktiviti mereka tanpa sebarang
kesulitan. Contohnya, pegawai imigresen yang menjaga sempadan negara akan melepaskan
ejen-ejen sindiket tersebut jika
disertakan dengan sejumlah wang. Mereka secara automatiknya akan memberikan
laluan kepada sindiket ini tanpa memikirkan kesan atas perbuatan yang tidak
bermoral itu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Di
samping itu, faktor jenayah pemerdagangan manusia juga terjadi disebabkan oleh jurang ekonomi
antara negara-negara jiran yang jelas ketara. Masyarakat yang tinggal di negara yang miskin dan
mempunyai lebihan penduduk sudah tentu ingin mengubah nasib hidup mereka
dengan bekerja di negara-negara maju tetapi
kekurangan pekerja. Namun begitu terdapat pihak yang kejam telah mengambil
kesempatan terhadap golongan yang ingin mengubah nasib hidup mereka dengan
menabur janji-janji manis seperti akan menyediakan tempat tinggal, suasana yang
harmoni serta pekerjaan yang baik tetapi indah khabar daripada rupa. Impian
yang diharapkan oleh masyarakat yang bertekad untuk mengubah kehidupan mereka
hancur berkecai apabila mereka terpaksa menjadi hamba dan buruh kasar. Jadi sudah terbukti bahawa
jurang ekonomi juga merupakan salah satu faktor kepada isu pemerdagangan
manusia.
Tahap
kesedaran rakyat terhadap isu pemerdagangan manusia yang rendah juga menyumbang
kepada berleluasanya isu ini. Kehidupan
rakyat yang bagaikan katak dibawah tempurung juga merupakan pemangkin kepada
permasalahan tanpa nokhtah ini. Kini,
majoriti rakyat tidak kira dimana sahaja mereka menetap bersikap seperti enau
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan isu ini bertambah
rumit dari hari ke hari. Sesetengah
rakyat bersikap acuh tak acuh dengan persekitaran mereka misalnya melihat pengemis kanak-kanak yang
cacat tetapi tidak mengambil sebarang tindakan yang drastik iaitu melaporkan
hal tersebut kepada pihak berkuasa agar mereka menyiasat adakah kanak-kanak itu
merupakan mangsa pemerdagangan manusia ataupun tidak. Jika telah dibuktikan
bahawa kanak-kanak tersebut merupakan mangsa tindakan yang pragmatik dan
drastik mestilah diambil dengan segera agar masalah itu tidak berlarutan.
Perkara yang berlaku adalah sebaliknya kerana rakyat tidak mempedulikan isu ini
menyebabkan perkara ini terus berleluasa. Sikap keprihatinan rakyat juga mampu
mengubah serta mengurangkan masalah ini.
Seterusnya,
faktor yang paling dominan adalah pertumbuhan ekonomi Malaysia yang sangat
pesat menyumbang kepada berlakunya aktiviti jenayah ini. Permintaan guna tenaga
buruh yang tinggi di Malaysia oleh para majikan tempatan kerana memerlukan
pengeluaran perbelanjaan yang murah sahaja. Rakyat asing yang tertarik untuk
datang ke Malaysia kerana telah dijanjikan pekerjaan serta gaji yang lumayan.
Namun pada hakikatnya indah khabar daripada rupa apabila janji-janji manis yang
ditaburkan oleh agen-agen sindiket hanyalah
rekaan semata-mata demi memujuk mangsa untuk ke Malaysia bagi tujuan
pemerdagangan. Mangsa-mangsa dipaksa untuk melakukan aktiviti yang tidak disisi
undang-undang seperti menjadi pelacur, pengemis jalanan dan sebagainya. Maka,
pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia telah membuatkan warga asing untuk datang
dan bekerja di sini.
Di
samping itu, punca yang menyebabkan pemerdagangan manusia ini adalah disebabkan
oleh kerakusan sikap manusia yang ingin mengaut keuntungan yang besar dengan
cara yang mudah. Kebanyakkan penjenayah yang terlibat dalam aktiviti
pemerdagangan manusia ini merupakan manusia yang tidak berhati perut malahan hanya
berfikir mengenai ganjaran lumayan yang
akan mereka dapat sekiranya berjaya
membawa masuk sekumpulan mangsa-mangsa yang akan diperdagangkan. Agen-agen
sindiket ini sememangnya tidak pernah berpuas hati serta tidak takut akan
hukuman yang akan dikenakan sekiranya mereka tertangkap. Apabila mereka berjaya
melepasi sempadan negara tanpa dikesan oleh pihak berkuasa, mereka akan meneruskan lagi aktiviti mereka ini tanpa
serik. Hal ini adalah kerana keuntungan yang mereka dapat apabila berjaya
melaksanakan tugasan dengan baik tanpa tertangkap. Jadi, jelaslah bahawa
aktiviti pemerdagangan manusia akan bertambah dari hari ke hari sekiranya jenayah ini tidak dibendung dengan segera
kerana aktiviti ini memberikan ganjaran yang lumayan kepada agen-agen sindiket yang terlibat.
1.2.4 KESAN-KESAN AKTIVITI PEMERDAGANGAN MANUSIA
Apabila kita fokuskan kesan
isu ini kepada mangsa dapat disimpulkan bahawa betapa kesiannya kepada mereka
yang terperangkap. Kebanyakan mangsa yang terlibat akan mengalami masalah
tekanan perasaan, murung, masalah mental dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat
menerusi perubahan emosi yang dialami oleh mangsa selain daripada ketakutan yang
begitu ketara kerana mereka dipaksa untuk melakukan pekerjaan yang bertentangan
dengan undang-undang dan bukannya atas kerelaan sendiri. Sekiranya segelintir
daripada mereka memberontak dan menginkari arahan yang diberikan oleh ketua,
mereka akan dipukul dengan teruknya tanpa belas kesian. Hal ini, menyebabkan
mereka mengalami kecederaan fizikal seperti lebam-lebam akibat dipukul dengan
teruknya oleh majikan iaitu agen sindiket ini.
Perkara yang paling menyedihkan ialah mereka menjadi trauma serta takut
untuk membela diri mahupun mengadu pada pihak yang berkuasa. Mereka bagaikan
sudah terbiasa dengan pukulan mahupun
hinaan yang dilontarkan oleh majikan mereka.
Selain
itu, kesan yang paling parah ialah mereka langsung tidak mendapat peluang untuk
belajar. Hal ini demikian kerana mereka tidak mempunyai identiti yang sah
disebabkan oleh mereka masuk ke Malaysia tanpa permit yang sah di sisi
undang-undang. Jadi, peluang untuk belajar tidak diberikan kepada mereka
disebabkan keraguan terhadap identiti sebenar mereka. Jika dikaji kebanyakan
mereka terutamanya remaja serta kanak-kanak begitu teringin untuk melanjutkan
pelajaran sama seperti rakyat asal Malaysia yang lain tetapi itu hanya menjadi
khayalan kerana tiada peruntukkan dan keistimewaan yang diberikan. Kejadian ini
amat memilukan kerana jika mereka mendapat pendidikan yang sempurna mungkin
mereka dapat mengubah nasib serta keluar dari masalah yang menghantui mereka
selama ini.
Di
samping itu juga, kesan terhadap pendidikan yang amat ketara ialah mangsa yang dibawa masuk ke Malaysia
mungkin terdedah kepada pelbagai penyakit yang berbahaya seperti AIDS, HIV,
TIBI dan sebagainya. Penyakit sebegini mudah merebak terutamanya pada wanita
yang memperdagangkan diri mereka untuk pelacuran manakala kanak-kanak yang
diperdagangkan juga terdedah kepada jangkitan virus apabila mereka menjadi
pengemis di jalanan. Apabila penyakit ini mula merebak ia akan memberikan kesan
yang negatif terhadap bidang pendidikan. Hal ini demikian kerana mungkin salah
seorang daripada pelajar telah terkena jangkitan virus menyebabkan pelajar
tersebut membawa virus ke sekolah dan menyebarkan kepada pelajar yang lain. Ini
akan menyebabkan gangguan pada aktiviti
harian di persekolahan. Bidang pendidikan akan berada di ambang genting sekiranya
isu ini tidak diselesaikan dengan segera ibarat telur dihujung tanduk. Jadi, kesan pemerdagangan manusia ini
amat memberi impak negatif terhadap pendidikan menyebabkan bidang ini sedikit
terjejas.
Seterusnya,
aktiviti pemerdagangan manusia ini sememangnya memberikan impak negatif
terutamanya terhadap pendidikan rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana
berleluasanya masalah ini menyebabkan tahap kerisauan ibu bapa semakin
meningkat apabila mereka ingin menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka berasa gusar untuk membiarkan
anak-anak ke sekolah sendirian kerana takut jika berlakunya hal-hal yang tidak
diingini. Sebagai contoh, mungkin dalam perjalanan anak-anak ke sekolah mereka
diperhatikan oleh agen-agen sindiket pemerdagangan manusia. Sekiranya ketika
itu anak-anak bersendirian agen sindiket ini akan menggunakan peluang yang ada
untuk menculik anak tersebut untuk diperdagangkan ke luar negara. Ibu bapa tentunya akan risau sekiranya
anaknya tidak pulang ke rumah pada waktu sedia kala. Mereka akan menyalahkan
pihak sekolah kerana tidak prihatin akan keselamatan pelajar. Hal ini akan
menjejaskan nama baik sekolah sekaligus kualiti pendidikan turut terkena
biasnya. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti pemerdagangan manusia
amat memberi kesan terhadap pendidikan di Malaysia.
Seterusnya,
mungkin ramai yang tidak tahu dan tidak ambil peduli terhadap kesan jenayah
ini. Setiap kejadian yang berlaku pasti ada akibatnya yang tersendiri contohnya
dari segi ekonomi. Ramai di kalangan kita tidak sedar bahawa setiap tahun
kira-kira 20 billion pound wang mengalir ke luar negara akibat daripada
aktiviti tersebut. Keadaan menyebabkan berlakunya kerugian yang sangat besar
terhadap negara dan ternyata pengaliran wang yang keluar akan menjejaskan
ekonomi negara kita. Apabila ekonomi terjejas, bidang pendidikan juga akan
terjejas disebabkan kekurangan kemudahan yang diperuntukkan untuk para pelajar.
Hal ini akan menyebabkan pelajar berada dalam keadaan yang tidak selesa kerana
persekitaran yang tidak kondusif. Prestasi pelajar dalam akademik juga akan
menurun disebabkan kekurangan tenaga
pelajar dan sebagainya. Konklusinya, ekonomi negara yang terjejas turut
menyebabkan pendidikan di negara Malaysia terkena tembiasnya.
1.2.5 LANGKAH-LANGKAH BAGI MENGATASI MASALAH INI
Langkah-langkah yang
pragmatik lagi efektif mestilah dirancang serta dilaksanakan sebelum nasi
menjadi bubur. Antara langkah yang harus diberikan penekanan ialah kerajaan
Malaysia memandang serius mengenai isu ini dan telah menubuhkan Akta Anti Pemerdagangan
Orang(Akta 670) pada tahun 2007 bagi mengheret si keji yang bertanggungjawab dalam melakukan aktiviti
terkutuk ini serta melindungi mangsa-mangsa pemerdagangan daripada terus
menjadi hamba. Parlimen Malaysia juga telah mengesahkan bahawa akta ini telah
berkuatkuasa pada 24 april 2007 dan para pesalah akan dikenakan hukuman penjara
tidak lebih 15 tahun serta dapat dikenakan hukuma kerana telah memperdagangkan
orang bukan kanak-kanak bagi tujuaan eksploitasi. Pihak kerajaan Malaysia telah
bertungkus lumus demi menyelesaikan masalah ini daripada terus menular tanpa
titik nokhtahnya.
Selain itu, peranan
pendidikan juga mampu mengatasi masalah ini. Umum mengetahui bahawa pendidikan
terbahagi kepada dua iaitu pendidikan formal dan tidak formal. Melalui
pendidikan formal iaitu pendidikan di sekolah, pihak sekolah wajiblah
menerapkan isu-isu pemerdagangan manusia
dalam topik-topik yang berkaitan seperti prihatin. Dengan ini, pelajar dapat
mengetahui maklumat-maklumat tentang aktiviti pemerdagangan manusia seperti
menelefon 999 semasa ternampak aktiviti ini giat dijalankan. Malahan,
pendidikan tidak formal iaitu pendidikan persekitaran juga memainkan peranan
yang sangat penting dalam usaha menangani masalah ini. Ibu bapa mestilah bertanggungjawab dalam
memberikan pendidikan agama yang sempurna kepada anak-anak agar mereka tidak
terjebat dalam aktiviti ini. Pendek kata, pendidikan juga memainkan peranan
yang penting dalam mengatasi masalah pemerdagangan manusia.
Di samping itu juga, langkah
yang patut dilaksanakan adalah memperketatkan lagi kawalan sempadan Malaysia
yang panjang dan kurang berpenghuni yang sering menjadi sarang
sindiket-sindiket melakukan aktiviti haram dengan berleluasanya. Pihak kerajaaan
mestilah mengerahkan askar-askar bahkan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab
dalam menjaga sempadan negara supaya lebih berhati-hati serta memperkukuhkan
lagi kawalan mereka supaya aktiviti pemerdagangan mausia tidak dapat masuk ke
Malaysia dengan sewenang-wenangnya. Pelan Tindakan Nasional menentang jenayah aktiviti
pemerdagangan manusia telah dilancarkan oleh YB Dato’ Seri Hishamuddin bin
Hussien, Menteri Kementerian Dalam Negeri yang bertujuan untuk memperkukuhkan
lagi undang-undang serta latihan dan memperketatkan kawalan di sempadan negara
bagi mengekang masalah ini. Maka,
jelaslah bahawa pihak kerajaan
sememangnya harus berusaha bagi mengetatkan kawalan di sempadan agar jenayah
pemerdagangan manusia sukar untuk memasuki negara kita.
Seterusnya, peranan media
massa juga amat penting dalam mengurangkan aktiviti pemerdagangan manusia
ini. Media massa seperti televisyen,
radio dan sebagainya memainkan peranan yang penting dalam menjangkau setiap
golongan masyarakat tentang bahaya jenayah ini sekiranya berleluasa dalam
negara tanpa ada inisiatif bagi menghalang aktiviti daripada terus membiak. Hal
ini demikian kerana media massa merupakan medium perhubungan yang berkesan bagi
meningkatkan kesedaran serta membuka mata masyarakat tentang baginya jenayah
ini. Kebanyakan mmasyarakat kita
sememangnya terdedah dengan isu-isu
semasa melalui media massa. Jadi, memang wajarlah dengan adanya bantuan dari
segi media massa dapat membantu kerajaan kerana dapat membuatkan rakyat ingin
bersama-sama turun padang dalam mengekang masalah ini.
Akhir sekali, pihak kerajaan
hendaklah menganjurkan program-program serta kempen-kempen yang berkaitan
tentang bahananya kemasukan pemerdagangan manusia ke Malaysia. Kempen serta
program yang akan diadakan mestilah dirancang serta diatur dengan rapi terlebih
dahulu agar perkara tersebut mendapat sambutan daripada orang ramai. Sebagai
contohnya, program yang akan diadakan itu mestilah menarik serta memberi
manfaat manakala kempen pula mestilah mempamerkan gambar-gambar yang dapat
menakutkan masyarakat seperti kesan pemerdagangan manusia terhadap pendidikan.
Hal ini bertujuan supaya objektif program serta kempen tersebut berjaya iaitu mengurangkan jenayah pemerdagangan
manusia dalam negara. Jelaslah bahawa perancangan yang tersusun dapat mmeraih
perhatian masyarakat agar sama-sama membanteras jenayah ini daripada menular
dalam negara.
1.3 PENUTUP
Kesimpulannya, kerjasama
daripada pelbagai pihak sama ada yang terlibat secara langsung ataupun tidak
langsung merupakan jalan penyelesaian
yang paling efektif yang patut dipraktikkan bagi mengatasi masalah ini daripada
terus menular dalam negara kita. Janganlah kita menjadi masyarakat yang hanya
mementingkan diri sendiri dan menyerahkan tugas mengekang masalah ini
kepada pihak berkuasa sahaja tanpa membantu bak kata pepatah “berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing” jadi marilah bersama-sama mengerah tenaga bagi
membanteras jenayah ini agar tiada lagi golongan yang akan diperdagangkan. Kita
haruslah bertindak dengan segera agar nasi tidak menjadi bubur. Kerjasama yang
jitu serta semangat yang berkobar-kobar merupakan pemangkin utama kejayaan kita
semua dalam mengatasi masalah ini.
Semoga dengan penyifaran jenayah pemerdagangan manusia, kita dapat
menzahirkan Wawasan 2020 dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan
negara-negara lain di dunia.