1.0 PENGENALAN MODEL THE BIG 6 SKILLS
Kini,
teknologi maklumat amat penting dan membantu dalam kehidupan setiap individu
tanpa mengenal usia. Teknologi maklumat ini telah mengubah cara bagaimana kita
bekerja terutamanya golongan dewasa, cara berkomunikasi dan berfikir. Maklumat ini telah mempengaruhi kehidupan
seharian kita tidak kira dimana sahaja kita berada. Apabila seseorang itu
mempunyai pelbagai maklumat daripada sumber-sumber berlainan, mereka tidak akan
mudah ditipu oleh teknologi bahkan manusia yang suka mengambil kesempatan juga
tidak mempunyai peluang untuk menipu golongan bermaklumat ini. Hal ini
disebabkan mereka dapat mengesan segala penipuan dengan mudah kerana segala maklumat
tidak kira daripada mana-mana aspek telah mereka kuasai.
Maklumat
dapat dirumuskan sebagai satu fenomena yang unik kerana tidak semua orang mampu
mengusai serta memahami secara mendalam konsep sebenar bagaimana maklumat itu diperoleh. Untuk pengetahuan umum,
walaupun Malaysia belum mencapai status masyarakat bermaklumat, kita telah
merasai bahang dan gelora zaman maklumat. Pada zaman maklumat ini kita tidak
boleh hanya menggunakan butang komputer untuk mendapatkan maklumat yang tepat
tetapi mestilah mempunyai kemahiran mengakses maklumat tersebut barulah kita
termasuk dalam golongan bermaklumat. Terdapat pelbagai teknik yang dapat
digunakan bagi menguasai maklumat dengan baiknya serta tepat.
Antara
teknik yang efektif dalam mencari maklumat serta mendapatkan kesahihannya ialah
menggunakan kaedah model The Big 6
Skills. Model ini diperkenalkan oleh dua
orang warga Amerika Syarikat iaitu Micheal B. Eisenberg dan Robert Berkowitz
pada tahun 1987. Kaedah ini amat
membantu tidak kira sesiapapun terutamanya guru serta pelajar dalam menyelesaikan sesuatu masalah dalam
pelajaran. Model ini merupakan strategi penyelesaian sesuatu masalah yang
sangat berkesan serta mudah apabila kita benar-benar tahu untuk menguasainya. Terdapat enam fasa dalam kaedah model
The Big 6 skills ini yang perlu difahami serta diteliti dengan baik sebelum
menggunakannya.
Pada
hakikatnya cara ini amat memberi manfaat kepada pelajar bagi menyiapkan
sebarang jenis tugasan yang diberikan oleh guru dengan pantas serta tepat. Hal
ini dapat memudahkan kerja para pelajar serta menjimatkan masa mereka bahkan
dapat mengelakkan tekanan perasaan. Di
samping itu, kaedah ini juga mendedahkan kepada para pelajar teknik untuk
mencari maklumat serta bagaimana cara mempersembahkan maklumat dalam bentuk
yang berkesan serta menarik. Seterusnya,
kaedah ini juga mengajar para pelajar supaya
dapat mencari maklumat serta menggunakan maklumat tersebut secara efektif serta
dapat memastikan bahawa maklumat tersebut tidak diragui kesahihannya.
2.0. FASA PERTAMA : MENGENALPASTI DAN MENENTUKAN TUGASAN
Seperti
umum mengetahui model The Big 6 Skills mempunyai enam fasa yang perlu diterokai untuk
memudahkan kerja kita. Perkara pertama yang perlu kita ketahui dalam model ini
iaitu mengenalpasti dan menentukan tugasan. Perkara ini merupakan langkah utama yang harus
pelajar ketahui bagi menyiapkan tugasan mereka. Pelajar mestilah mengetahui
masalah yang dihadapi serta maklumat yang perlu mereka ada bagi menyelesaikan
masalah tersebut. Dalam mengenalpasti sesuatu masalah itu, pelajar tersebut
mestilah mengetahui jenis tugasan yang akan dibentangkan kepada guru. Jenis
tugasan yang akan dihantar merangkumi tajuk, jenis kertas kerja, panjang
tugasan serta tarikh akhir penghantaran. Sebagai contohnya, guru telah
mengarahkan pelajar tersebut untuk membuat kajian mengenai penggunaan hormon
tumbuhan ke atas bidang pertanian.
Setelah
tajuk serta jenis tugasan diketahui , pelajar perlu mencari kata kunci untuk
memudahkan mereka mendapatkan maklumat. Dalam hal ini, hormon tumbuhan
merupakan kata kunci utama dalam tugasan yang diberikan jadi pelajar hendaklah
mencari maklumat mengenai hormon tumbuhan tersebut. Seterusnya, pelajar
perlulah menentukan cara yang terbaik untuk membincangkan tajuk tersebut dengan
menggunakan idea-idea bernas yang bersesuaian dengan topik. Melalui
tugasan ini, pelajar mestilah mengutarakan soalan-soalan yang berkaitan dengan
topik misalnya kepentingan hormon serta kekurangan hormon terhadap bidang
pertanian. Akhir sekali, perkara paling penting yang harus dipastikan adalah topik
hormon tersebut sama ada memerlukan
peta, gambar, statistik atau maklumat bibliografi.
3.0 . FASA KE-2 : STRATEGI MENCARI MAKLUMAT
Seterusnya,
langkah kedua dalam Model Big 6 Skills ini adalah strategi mencari maklumat.
Pelajar mestilah pandai mencari sumber yang akan digunakan untuk medapatkan
maklumat dalam menyiapkan tugasan mereka iaitu penggunaan hormon dalam bidang
pertanian. Antara sumber yang dapat membantu kita untuk mendapatkan maklumat
ini adalah buku, jurnal, artikel,
internet dan sebagainya. Pelajar tidak boleh hanya melayari internet bagi
mendapatkan rujukan mereka tetapi mestilah mempelbagaikan sumber tersebut agar
maklumat yang didapati itu tepat. Sebagai contohnya, info mengenai hormon tumbuhan ini selalunya sukar didapati
jika hanya tertumpu pada satu sumber iaitu internet. Jadi, bagi mengatasi
masalah kesukaran untuk mendapatkan maklumat ini, pelajar haruslah rajin serta
bijak merancang strategi untuk mencari maklumat mengenai hormon tumbuhan tersebut agar memudahkan lagi tugasan itu.
4.0 . FASA KE-3 : LOKASI DAN AKSES
Langkah
yang ketiga pula adalah lokasi dan akses. Dalam hal ini, pelajar perlu
mengambil tahu dimana tempat untuk mencari sumber maklumat
yang akan digunakan dalam tugasan mereka. Sebagai contohnya, pelajar mencari
serta mengumpulkan maklumat mengenai
penggunaan hormon tumbuhan di
perpustakaan. Walaubagaimanapun, pelajar mestilah mengetahui cara untuk mendapatkan
sumber maklumat tersebut di perpustakaan dengan meminta panduan dari guru atau
bantuan dari pembantu perpustakaan. Perkara ini penting dalam memastikan
maklumat yang didapati adalah tepat serta bersesuaian dengan topik tugasan
iaitu penggunaan hormon tumbuhan ke atas bidang pertanian. Maklumat-maklumat
boleh diperoleh melalui susunan huruf, indek, cakera padat, atau enjin carian.
Maklumat yang perlu dikumpulkan berdasarkan tugasan yang diberikan
antaranya adalah kesan positif dan negatif
hormon tumbuhan, jenis-jenis hormon dan
ciri-ciri hormon tersebut. Maklumat-maklumat ini boleh didapati dengan mudahnya
sekiranya pelajar menggunakan kata kunci yang telah dicatat.
5.0. FASA KE-4 : PENGGUNAAN MAKLUMAT
Seterusnya,
ciri-ciri dalam model The Big 6 Skills adalah penggunaan maklumat. Penggunaan
maklumat bermaksud pelajar perlu mengetahui bentuk maklumat yang diperoleh sama
ada bersesuaian dengan tugasan yang dibuat atau sebaliknya. Sebagai contohnya, tajuk
tugasan yang diberikan oleh guru adalah mengenai hormon tumbuhan tetapi yang
dicari adalah hormon haiwan. Hal ini dikatakan pelajar tersebut tidak tahu
bagaimana penggunaan maklumat yang sepatutnya. Selain itu, pelajar juga perlu
menentukan maklumat tersebut merupakan format yang diperlukan mereka. Bentuk
format bagi tugasan hormon tumbuhan ini adalah karangan fakta jadi pelajar
mestilah tahu format bagi tugasan ini.
Sebelum
memulakan membuat tugasan, pelajar perlu memahami maklumat serta menentukan
maklumat yang boleh digunakan untuk menyiapkan tugasan mereka itu.
Maklumat-maklumat yang dikumpulkan hendaklah dipilih agar bersesuaian dengan
tajuk tugasan. Di samping itu, terdapat beberapa cara untuk mengeluarkan
maklumat dari sesuatu bahan bergantung kepada jenis bahan tersebut. Antara cara
yang efektif dalam mengeluarkan maklumat adalah melalui catatan nota, salinan,
mencetak , rakaman video, temubual dan sebagainya. Pelajar haruslah tahu cara
yang paling mudah serta memberi keselesaan kepada mereka untuk mengeluarkan
maklumat bagi menyiapkan tugasan
6.0. FASA KE-5 : SINTESIS
Setelah
memperolehi semua maklumat yang sesuai, pelajar mestilah merancang cara untuk
menggabungkan kesemua maklumat atau sintesis maklumat tersebut untuk mula menulis karangan atau
tugasan. Proses menggabungkan kesemua maklumat ini merupakan langkah kelima
dalam model The Big 6 Skills. Sebagai contoh, maklumat yang dapat melalui
sumber buku, jurnal, artikel dan sebagainya mengenai hormon tumbuhan ini
dikumpulkan dan merangka karangan terlebih dahulu sebelum mula menulis. Perkara
ini penting kerana dapat membantu serta memberi panduan kepada pelajar sebelum
mula menulis. Pelajar boleh menggunakan peta pemikiran iaitu i-think dalam
memudahkan lagi beban mereka untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.
Terdapat beberapa contoh peta i-think yang boleh digunakan bagi membantu
pelajar untuk menggabungkan semua maklumat yang diperoleh sekaligus memudahkan
kerja-kerja mereka. Antaranya, peta
bulatan digunakan untuk tujuan mendefinisikan, peta buih untuk menerangkan,
peta buih berganda untuk membanding beza, peta pokok untuk membuat pengelasan,
peta dakap untuk hubungan seluruh bahagian, peta alir untuk urutan, peta
pelbagai alir untuk menyatakan sebab serta akibat dan yang terakhir adalah peta
titi iaitu analogi(hubungan yang sama, mencari faktor penghubungan).
7.0 . FASA KE-6 :PENILAIAN
Langkah
yang terakhir dalam model The Big 6 Skills ini adalah penilaian. Penilaian ini
membawa maksud apabila pelajar selesai menyiapkan tugasan pelajar tersebut
mestilah menilai hasil kerja mereka sebelum dihantar kepada guru. Selain diri
sendiri pelajar juga boleh minta bantuan
serta pendapat daripada rakan atau keluarga untuk menilai hasil kerja mereka. Sebagai
contohnya, sebelum menyerahkan karangan penggunaan hormon tumbuhan terhadap
bidang pertanian kepada guru, lebih baik
kita meminta orang lain untuk menilai tugasan tersebut agar keputusan nanti
yang terbaik. Selain itu, pelajar hendaklah menyemak semula soalan yang
dikehendaki agar tiada yang tertinggal serta memastikan bahawa nama pelajar,
nama guru, tarikh dan tajuk telah ditulis pada muka depan tugasan tersebut.
Antara kriteria-kriteria yang digunakan untuk memberi penilaian iaitu menyemak
ejaan, mengikut format dan rujukan yang betul dan akhir sekali kenyataan
tentang tugasan. Setelah ke semua langkah model The Big 6 Skills ini selesai,
pelajar bolehlah menghantar tugasan kepada guru sebelum tarikh akhir.
8.0 KESIMPULAN
Konklusinya,
model The Big 6 Skills ini merupakan salah satu transformasi yang amat membantu
pelajar serta guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Langkah-langkah
yang ditunjukkan dalam model ini juga mudah difahami dan senang diaplikasikan
dalam membuat sesuatu tugasan. Model ini juga mendapat sambutan yang
memberangsangkan serta kerap digunakan dalam membuat sesuatu tugasan. Jadi,
masyarakat hendaklah menpraktikkan model The Big 6 Skills ini sebelum membuat
tugasan supaya memudahkan urusan kerja serta dapat menjadi manusia yang tahu
untuk menggunakan maklumat dengan cara yang tepat. Di samping itu, pelajar juga
haruslah mendalami teknik model The Big 6 Skills ini sebelum mula membuat
sesuatu tugasan kerana model ini merupakan satu inisiatif bagi merangka tugasan
agar tugasan nanti akan menjadi lebih terancang.