Rabu, 16 September 2015

APA ITU MODEL THE BIG 6 SKILLS ??



1.0 PENGENALAN MODEL THE BIG 6 SKILLS

Kini, teknologi maklumat amat penting dan membantu dalam kehidupan setiap individu tanpa mengenal usia. Teknologi maklumat ini telah mengubah cara bagaimana kita bekerja terutamanya golongan dewasa, cara berkomunikasi dan berfikir.  Maklumat ini telah mempengaruhi kehidupan seharian kita tidak kira dimana sahaja kita berada. Apabila seseorang itu mempunyai pelbagai maklumat daripada sumber-sumber berlainan, mereka tidak akan mudah ditipu oleh teknologi bahkan manusia yang suka mengambil kesempatan juga tidak mempunyai peluang untuk menipu golongan bermaklumat ini. Hal ini disebabkan mereka dapat mengesan segala penipuan dengan mudah kerana segala maklumat tidak kira daripada mana-mana aspek telah mereka kuasai.
Maklumat dapat dirumuskan sebagai satu fenomena yang unik kerana tidak semua orang mampu mengusai serta memahami secara mendalam konsep sebenar  bagaimana maklumat  itu diperoleh. Untuk pengetahuan umum, walaupun Malaysia belum mencapai status masyarakat bermaklumat, kita telah merasai bahang dan gelora zaman maklumat. Pada zaman maklumat ini kita tidak boleh hanya menggunakan butang komputer untuk mendapatkan maklumat yang tepat tetapi mestilah mempunyai kemahiran mengakses maklumat tersebut barulah kita termasuk dalam golongan bermaklumat. Terdapat pelbagai teknik yang dapat digunakan bagi menguasai maklumat dengan baiknya serta tepat.
Antara teknik yang efektif dalam mencari maklumat serta mendapatkan kesahihannya ialah menggunakan kaedah model  The Big 6 Skills. Model ini diperkenalkan  oleh dua orang warga Amerika Syarikat iaitu Micheal B. Eisenberg dan Robert Berkowitz pada tahun 1987.  Kaedah ini amat membantu tidak kira sesiapapun terutamanya guru serta pelajar  dalam menyelesaikan sesuatu masalah dalam pelajaran. Model ini merupakan strategi penyelesaian sesuatu masalah yang sangat berkesan serta mudah apabila kita benar-benar tahu untuk  menguasainya. Terdapat enam fasa dalam kaedah model The Big 6 skills ini yang perlu difahami serta diteliti dengan baik sebelum menggunakannya.
Pada hakikatnya cara ini amat memberi manfaat kepada pelajar bagi menyiapkan sebarang jenis tugasan yang diberikan oleh guru dengan pantas serta tepat. Hal ini dapat memudahkan kerja para pelajar serta menjimatkan masa mereka bahkan dapat mengelakkan tekanan perasaan.  Di samping itu, kaedah ini juga mendedahkan kepada para pelajar teknik untuk mencari maklumat serta bagaimana cara mempersembahkan maklumat dalam bentuk yang berkesan serta menarik.  Seterusnya,  kaedah ini juga mengajar para pelajar supaya dapat mencari maklumat serta menggunakan maklumat tersebut secara efektif serta dapat memastikan bahawa maklumat tersebut tidak diragui kesahihannya.

2.0. FASA PERTAMA :  MENGENALPASTI DAN MENENTUKAN TUGASAN

Seperti umum mengetahui  model The Big 6 Skills  mempunyai enam fasa yang perlu diterokai untuk memudahkan kerja kita. Perkara pertama yang perlu kita ketahui dalam model ini iaitu mengenalpasti dan menentukan tugasan.  Perkara ini merupakan langkah utama yang harus pelajar ketahui bagi menyiapkan tugasan mereka. Pelajar mestilah mengetahui masalah yang dihadapi serta maklumat yang perlu mereka ada bagi menyelesaikan masalah tersebut. Dalam mengenalpasti sesuatu masalah itu, pelajar tersebut mestilah mengetahui jenis tugasan yang akan dibentangkan kepada guru. Jenis tugasan yang akan dihantar merangkumi tajuk, jenis kertas kerja, panjang tugasan serta tarikh akhir penghantaran. Sebagai contohnya, guru telah mengarahkan pelajar tersebut untuk membuat kajian mengenai penggunaan hormon tumbuhan ke atas bidang pertanian.
Setelah tajuk serta jenis tugasan diketahui , pelajar perlu mencari kata kunci untuk memudahkan mereka mendapatkan maklumat. Dalam hal ini, hormon tumbuhan merupakan kata kunci utama dalam tugasan yang diberikan jadi pelajar hendaklah mencari maklumat mengenai hormon tumbuhan tersebut. Seterusnya, pelajar perlulah menentukan cara yang terbaik untuk membincangkan tajuk tersebut dengan menggunakan idea-idea  bernas  yang bersesuaian dengan topik. Melalui tugasan ini, pelajar mestilah mengutarakan soalan-soalan yang berkaitan dengan topik misalnya kepentingan hormon serta kekurangan hormon terhadap bidang pertanian. Akhir sekali, perkara paling penting yang harus dipastikan adalah topik hormon tersebut sama ada memerlukan  peta, gambar, statistik atau maklumat bibliografi.

3.0 . FASA KE-2 : STRATEGI MENCARI MAKLUMAT

Seterusnya, langkah kedua dalam Model Big 6 Skills ini adalah strategi mencari maklumat. Pelajar mestilah pandai mencari sumber yang akan digunakan untuk medapatkan maklumat dalam menyiapkan tugasan mereka iaitu penggunaan hormon dalam bidang pertanian. Antara sumber yang dapat membantu kita untuk mendapatkan maklumat ini adalah buku,  jurnal, artikel, internet dan sebagainya. Pelajar tidak boleh hanya melayari internet bagi mendapatkan rujukan mereka tetapi mestilah mempelbagaikan sumber tersebut agar maklumat yang didapati itu tepat. Sebagai contohnya, info mengenai  hormon tumbuhan ini selalunya sukar didapati jika hanya tertumpu pada satu sumber iaitu internet. Jadi, bagi mengatasi masalah kesukaran untuk mendapatkan maklumat ini, pelajar haruslah rajin serta bijak merancang strategi untuk mencari maklumat mengenai hormon tumbuhan tersebut  agar memudahkan lagi tugasan itu.

4.0 . FASA KE-3 : LOKASI DAN AKSES

Langkah yang ketiga pula adalah lokasi dan akses. Dalam hal ini, pelajar perlu mengambil  tahu  dimana tempat untuk mencari sumber maklumat yang akan digunakan dalam tugasan mereka. Sebagai contohnya, pelajar mencari serta mengumpulkan  maklumat mengenai penggunaan  hormon tumbuhan di perpustakaan. Walaubagaimanapun, pelajar mestilah mengetahui cara untuk mendapatkan sumber maklumat tersebut di perpustakaan dengan meminta panduan dari guru atau bantuan dari pembantu perpustakaan. Perkara ini penting dalam memastikan maklumat yang didapati adalah tepat serta bersesuaian dengan topik tugasan iaitu penggunaan hormon tumbuhan ke atas bidang pertanian. Maklumat-maklumat boleh diperoleh melalui susunan huruf, indek, cakera padat, atau enjin carian. Maklumat yang perlu dikumpulkan berdasarkan tugasan yang diberikan antaranya  adalah kesan positif dan negatif  hormon tumbuhan, jenis-jenis hormon dan ciri-ciri hormon tersebut. Maklumat-maklumat ini boleh didapati dengan mudahnya sekiranya pelajar menggunakan kata kunci yang telah dicatat.

5.0. FASA KE-4 :  PENGGUNAAN MAKLUMAT

Seterusnya, ciri-ciri dalam model The Big 6 Skills adalah penggunaan maklumat. Penggunaan maklumat bermaksud pelajar perlu mengetahui bentuk maklumat yang diperoleh sama ada bersesuaian dengan tugasan yang dibuat atau sebaliknya. Sebagai contohnya, tajuk tugasan yang diberikan oleh guru adalah mengenai hormon tumbuhan tetapi yang dicari adalah hormon haiwan. Hal ini dikatakan pelajar tersebut tidak tahu bagaimana penggunaan maklumat yang sepatutnya. Selain itu, pelajar juga perlu menentukan maklumat tersebut merupakan format yang diperlukan mereka. Bentuk format bagi tugasan hormon tumbuhan ini adalah karangan fakta jadi pelajar mestilah tahu format bagi tugasan ini.
Sebelum memulakan membuat tugasan, pelajar perlu memahami maklumat serta menentukan maklumat yang boleh digunakan untuk menyiapkan tugasan mereka itu. Maklumat-maklumat yang dikumpulkan hendaklah dipilih agar bersesuaian dengan tajuk tugasan. Di samping itu, terdapat beberapa cara untuk mengeluarkan maklumat dari sesuatu bahan bergantung kepada jenis bahan tersebut. Antara cara yang efektif dalam mengeluarkan maklumat adalah melalui catatan nota, salinan, mencetak , rakaman video, temubual dan sebagainya. Pelajar haruslah tahu cara yang paling mudah serta memberi keselesaan kepada mereka untuk mengeluarkan maklumat bagi menyiapkan tugasan

6.0. FASA KE-5 : SINTESIS

Setelah memperolehi semua maklumat yang sesuai, pelajar mestilah merancang cara untuk menggabungkan kesemua maklumat atau sintesis maklumat  tersebut untuk mula menulis karangan atau tugasan. Proses menggabungkan kesemua maklumat ini merupakan langkah kelima dalam model The Big 6 Skills. Sebagai contoh, maklumat yang dapat melalui sumber buku, jurnal, artikel dan sebagainya mengenai hormon tumbuhan ini dikumpulkan dan merangka karangan terlebih dahulu sebelum mula menulis. Perkara ini penting kerana dapat membantu serta memberi panduan kepada pelajar sebelum mula menulis. Pelajar boleh menggunakan peta pemikiran iaitu i-think dalam memudahkan lagi beban mereka untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Terdapat beberapa contoh peta i-think yang boleh digunakan bagi membantu pelajar untuk menggabungkan semua maklumat yang diperoleh sekaligus memudahkan kerja-kerja  mereka. Antaranya, peta bulatan digunakan untuk tujuan mendefinisikan, peta buih untuk menerangkan, peta buih berganda untuk membanding beza, peta pokok untuk membuat pengelasan, peta dakap untuk hubungan seluruh bahagian, peta alir untuk urutan, peta pelbagai alir untuk menyatakan sebab serta akibat dan yang terakhir adalah peta titi iaitu analogi(hubungan yang sama, mencari faktor penghubungan).

7.0 . FASA KE-6 :PENILAIAN  

Langkah yang terakhir dalam model The Big 6 Skills ini adalah penilaian. Penilaian ini membawa maksud apabila pelajar selesai menyiapkan tugasan pelajar tersebut mestilah menilai hasil kerja mereka sebelum dihantar kepada guru. Selain diri sendiri  pelajar juga boleh minta bantuan serta pendapat daripada rakan atau keluarga  untuk menilai hasil kerja mereka. Sebagai contohnya, sebelum menyerahkan karangan penggunaan hormon tumbuhan terhadap bidang pertanian  kepada guru, lebih baik kita meminta orang lain untuk menilai tugasan tersebut agar keputusan nanti yang terbaik. Selain itu, pelajar hendaklah menyemak semula soalan yang dikehendaki agar tiada yang tertinggal serta memastikan bahawa nama pelajar, nama guru, tarikh dan tajuk telah ditulis pada muka depan tugasan tersebut. Antara kriteria-kriteria yang digunakan untuk memberi penilaian iaitu menyemak ejaan, mengikut format dan rujukan yang betul dan akhir sekali kenyataan tentang tugasan. Setelah ke semua langkah model The Big 6 Skills ini selesai, pelajar bolehlah menghantar tugasan kepada guru sebelum tarikh akhir.   

8.0 KESIMPULAN

Konklusinya, model The Big 6 Skills ini merupakan salah satu transformasi yang amat membantu pelajar serta guru dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Langkah-langkah yang ditunjukkan dalam model ini juga mudah difahami dan senang diaplikasikan dalam membuat sesuatu tugasan. Model ini juga mendapat sambutan yang memberangsangkan serta kerap digunakan dalam membuat sesuatu tugasan. Jadi, masyarakat hendaklah menpraktikkan model The Big 6 Skills ini sebelum membuat tugasan supaya memudahkan urusan kerja serta dapat menjadi manusia yang tahu untuk menggunakan maklumat dengan cara yang tepat. Di samping itu, pelajar juga haruslah mendalami teknik model The Big 6 Skills ini sebelum mula membuat sesuatu tugasan kerana model ini merupakan satu inisiatif bagi merangka tugasan agar tugasan nanti akan menjadi lebih terancang.







ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA



1.1PENGENALAN

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat ini, terdapat beberapa isu yang sedang hangat diperkatakan di media massa mahupun dibibir masyarakat tempatan. Namun demikian,  terbit satu isu yang kian membimbangkan serta lebih memberikan tekanan kepada masyarakat global  iaitu jenayah pemerdagangan manusia. Jenayah pemerdagangan orang  telah dianggap sebagai satu bentuk perhambaan dan bentuk ancaman terhadap hak asasi dan keselamatan manusia. Pemerdagangan orang  dapat ditakrifkan sebagai perdagangan atau perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram,  termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa.

Berdasarkan  laporan yang dikeluarkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) menyatakan bahawa jenayah pemerdagangan orang talah mengaut keuntungan sebanyak USD 44.3 bilion setahun selepas jenayah senjata api dan dadah. Isu pemerdagangan ini berlaku ekoran daripada permintaan terhadap tenaga buruh yang tinggi, perkhidmatan seksual, jeratan hutang dan kemiskinan. Pada kebiasaannya,  mangsa yang terlibat biasanya tidak diberi sebarang pilihan dan tidak dapat melaporkan penderitaan mereka akibat daripada kawalan ketat oleh sindiket-sindiket tertentu. Negara-negara miskin dan negara yang mempunyai populasi penduduk  yang ramai sering menjadi mangsa seperti China, Indonesia, Sri Lanka dan sebagainya.  Manakala hasil kajian mendapati Malaysia khususnya Sabah adalah destinasi persinggahan untuk wanita dan kanak-kanak diperdagangkan untuk eksploitasi seks secara komersial manakala lelaki dijadikan sebagai buruh paksa.

Pendidikan amat penting kepada semua golongan tidak kira yang muda mahupun yang sudah berusia lebih-lebih lagi pada zaman serba moden ini. Kita mestilah keluar dari takuk lama agar tidak ketinggalan zaman serta dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang acap kali berubah mengikut peredaran masa. Peri pentingnya, pendidikan  kerana dengan adanya pendidikan dapat mengelakkan kita daripada ditipu dengan sewenang-wenangnya  oleh golongan yang suka mengambil kesempatan. Jadi, jelaslah bahawa setiap individu mestilah berhak untuk mendapatkan pendidikan demi menjamin masa depan mereka.

1.2 ISI-ISI PENTING

1.2.1 CONTOH KES

Menurut statistik yang telah dikeluarkan  oleh Majlis Anti Pemerdagangan (MAPO) melaporkan bahawa 149 kes ekslpotaisi seks di negara kita dari tempoh 28 Februari 2008 sehingga 18 April 2010. Ini telah disusuli dengan pelbagai kes iaitu perhambaan paksa sebanyak 42 kes, penyeludupan manusia  11 kes , penjualan bayi 5 kes dan eksplotaisi kanak-kanak untuk visa 1 kes.  MAPO juga telah mengeluarkan statistik yang menunjukkan warga Indonesia telah mencatatkan jumlah mangsa tertinggi  iaitu sebanyak 105 mangsa telah mendapat perintah perlindungan (PO).
Menurut kajian 2006 juga menunjukkan 800,000 orang dibawa masuk melepasi sempadan negara pada setiap tahun. Sementara itu, masih ada lagi jutaan manusia yang diperdagangkan ke dalam negara tidak direkodkan. Mengikut kajian Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menganggarkan bahawa kegiatan pemerdagangan manusia di negara tersebut telah mengaut keuntungan  antara 1billion dolar sehingga 3 billion dolar setahun. Manakala pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan kira-kira 150,000 ribu orang dan majoritinya adalah golongan kanak-kanak  yang diseludup dari kawasan asia selatan pada setiap tahun.   

1.2.2 GOLONGAN YANG SERING MENJADI MANGSA

Kebanyakannya mangsa pemerdagangan terdiri daripada kanak-kanak  kerana mereka senang untuk dikawal serta tidak berani untuk berbuat apa-apa demi menyelamatkan diri  ketika diculik untuk aktiviti ini. Selain itu, pemikiran mereka yang tidak matang iaitu tidak dapat memikirkan  di antara perkara yang benar mahupun yang dusta akan memberikan kelebihan kepada penjenayah untuk menjalankan tugas mereka bagi memperoleh keuntungan. Mereka akan dijual kepada orang kaya tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.

 Golongan wanita  turut menjadi target utama dalam aktiviti ini kerana mereka merupakan golongan yang lemah serta tiada kemampuan untuk melawan kudrat penjenayah yang selalunya ialah lelaki. Mereka diperdagangkan bagi tujuan menjaga seorang pengasuh yang tidak berlesen, menjadi pembantu rumah tanpa permit dan sebagainya lagi. Hal ini amat menyedihkan kerana telah menjatuhkan maruah bagi golongan wanita dan  hak-hak asasi tidak dijaga. Golongan remaja juga turut tidak ketinggalan dalam menjadi sasaran utama para sindiket pemerdagangan orang ini. Remaja digunakan untuk menjadi keldai dadah di negara luar demi mengaut keuntungan yang besar dan segera kepada para penjenayah yang terlibat dalam permasalahan ini.

1.2.3 FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA PEMERDAGANGAN MANUSIA

Setelah dikaji serta diperhatikan mendalam terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya isu pemerdagangan manusia seantero dunia. Antara yang utama ialah terdapatnya unsur rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan  menyebabkan isu ini sukar ditangani walaupun beberapa usaha telah dilaksanakan. Pegawai kerajaan yang tidak jujur dalam pekerjaannya dan mudah menerima rasuah sering kali dimanfaatkan oleh para sindiket pemerdagangan orang ini untuk menjalankan aktiviti mereka tanpa sebarang kesulitan. Contohnya, pegawai imigresen yang menjaga sempadan negara akan melepaskan ejen-ejen sindiket tersebut  jika disertakan dengan sejumlah wang. Mereka secara automatiknya akan memberikan laluan kepada sindiket ini tanpa memikirkan kesan atas perbuatan yang tidak bermoral itu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Di samping itu, faktor jenayah pemerdagangan manusia  juga terjadi disebabkan oleh jurang ekonomi antara negara-negara jiran yang jelas ketara. Masyarakat  yang tinggal di negara yang miskin dan mempunyai lebihan penduduk sudah tentu ingin mengubah nasib hidup mereka dengan  bekerja di negara-negara maju tetapi kekurangan pekerja. Namun begitu terdapat pihak yang kejam telah mengambil kesempatan terhadap golongan yang ingin mengubah nasib hidup mereka dengan menabur janji-janji manis seperti akan menyediakan tempat tinggal, suasana yang harmoni serta pekerjaan yang baik tetapi indah khabar daripada rupa. Impian yang diharapkan oleh masyarakat yang bertekad untuk mengubah kehidupan mereka hancur berkecai apabila mereka terpaksa menjadi hamba  dan buruh kasar. Jadi sudah terbukti bahawa jurang ekonomi juga merupakan salah satu faktor kepada isu pemerdagangan manusia.

Tahap kesedaran rakyat terhadap isu pemerdagangan manusia yang rendah juga menyumbang kepada berleluasanya isu ini.  Kehidupan rakyat yang bagaikan katak dibawah tempurung juga merupakan pemangkin kepada permasalahan tanpa nokhtah ini.  Kini, majoriti rakyat tidak kira dimana sahaja mereka menetap bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan isu ini bertambah rumit dari hari ke hari.  Sesetengah rakyat bersikap acuh tak acuh dengan persekitaran mereka  misalnya melihat pengemis kanak-kanak yang cacat tetapi tidak mengambil sebarang tindakan yang drastik iaitu melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa agar mereka menyiasat adakah kanak-kanak itu merupakan mangsa pemerdagangan manusia ataupun tidak. Jika telah dibuktikan bahawa kanak-kanak tersebut merupakan mangsa tindakan yang pragmatik dan drastik mestilah diambil dengan segera agar masalah itu tidak berlarutan. Perkara yang berlaku adalah sebaliknya kerana rakyat tidak mempedulikan isu ini menyebabkan perkara ini terus berleluasa. Sikap keprihatinan rakyat juga mampu mengubah serta mengurangkan masalah ini.

Seterusnya, faktor yang paling dominan adalah pertumbuhan ekonomi Malaysia yang sangat pesat menyumbang kepada berlakunya aktiviti jenayah ini. Permintaan guna tenaga buruh yang tinggi di Malaysia oleh para majikan tempatan kerana memerlukan pengeluaran perbelanjaan yang murah sahaja. Rakyat asing yang tertarik untuk datang ke Malaysia kerana telah dijanjikan pekerjaan serta gaji yang lumayan. Namun pada hakikatnya indah khabar daripada rupa apabila janji-janji manis yang ditaburkan oleh agen-agen sindiket  hanyalah rekaan semata-mata demi memujuk mangsa untuk ke Malaysia bagi tujuan pemerdagangan. Mangsa-mangsa dipaksa untuk melakukan aktiviti yang tidak disisi undang-undang seperti menjadi pelacur, pengemis jalanan dan sebagainya. Maka, pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia telah membuatkan warga asing untuk datang dan bekerja di sini.
Di samping itu, punca yang menyebabkan pemerdagangan manusia ini adalah disebabkan oleh kerakusan sikap manusia yang ingin mengaut keuntungan yang besar dengan cara yang mudah. Kebanyakkan penjenayah yang terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia ini merupakan manusia yang tidak berhati perut malahan hanya berfikir mengenai ganjaran lumayan  yang akan mereka dapat sekiranya  berjaya membawa masuk sekumpulan mangsa-mangsa yang akan diperdagangkan. Agen-agen sindiket ini sememangnya tidak pernah berpuas hati serta tidak takut akan hukuman yang akan dikenakan sekiranya mereka tertangkap. Apabila mereka berjaya melepasi sempadan negara tanpa dikesan oleh pihak berkuasa, mereka akan  meneruskan lagi aktiviti mereka ini tanpa serik. Hal ini adalah kerana keuntungan yang mereka dapat apabila berjaya melaksanakan tugasan dengan baik tanpa tertangkap. Jadi, jelaslah bahawa aktiviti pemerdagangan manusia akan bertambah dari hari ke hari sekiranya  jenayah ini tidak dibendung dengan segera kerana aktiviti ini memberikan ganjaran yang lumayan kepada  agen-agen sindiket yang terlibat.

1.2.4 KESAN-KESAN AKTIVITI PEMERDAGANGAN MANUSIA

Apabila kita fokuskan kesan isu ini kepada mangsa dapat disimpulkan bahawa betapa kesiannya kepada mereka yang terperangkap. Kebanyakan mangsa yang terlibat akan mengalami masalah tekanan perasaan, murung, masalah mental dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat menerusi perubahan emosi yang dialami oleh mangsa selain daripada ketakutan yang begitu ketara kerana mereka dipaksa untuk melakukan pekerjaan yang bertentangan dengan undang-undang dan bukannya atas kerelaan sendiri. Sekiranya segelintir daripada mereka memberontak dan menginkari arahan yang diberikan oleh ketua, mereka akan dipukul dengan teruknya tanpa belas kesian. Hal ini, menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal seperti lebam-lebam akibat dipukul dengan teruknya oleh majikan iaitu agen sindiket ini.  Perkara yang paling menyedihkan ialah mereka menjadi trauma serta takut untuk membela diri mahupun mengadu pada pihak yang berkuasa. Mereka bagaikan sudah terbiasa  dengan pukulan mahupun hinaan yang dilontarkan oleh majikan mereka.  
Selain itu, kesan yang paling parah ialah mereka langsung tidak mendapat peluang untuk belajar. Hal ini demikian kerana mereka tidak mempunyai identiti yang sah disebabkan oleh mereka masuk ke Malaysia tanpa permit yang sah di sisi undang-undang. Jadi, peluang untuk belajar tidak diberikan kepada mereka disebabkan keraguan terhadap identiti sebenar mereka. Jika dikaji kebanyakan mereka terutamanya remaja serta kanak-kanak begitu teringin untuk melanjutkan pelajaran sama seperti rakyat asal Malaysia yang lain tetapi itu hanya menjadi khayalan kerana tiada peruntukkan dan keistimewaan yang diberikan. Kejadian ini amat memilukan kerana jika mereka mendapat pendidikan yang sempurna mungkin mereka dapat mengubah nasib serta keluar dari masalah yang menghantui mereka selama ini.

Di samping itu juga, kesan terhadap pendidikan yang amat ketara  ialah mangsa yang dibawa masuk ke Malaysia mungkin terdedah kepada pelbagai penyakit yang berbahaya seperti AIDS, HIV, TIBI dan sebagainya. Penyakit sebegini mudah merebak terutamanya pada wanita yang memperdagangkan diri mereka untuk pelacuran manakala kanak-kanak yang diperdagangkan juga terdedah kepada jangkitan virus apabila mereka menjadi pengemis di jalanan. Apabila penyakit ini mula merebak ia akan memberikan kesan yang negatif terhadap bidang pendidikan. Hal ini demikian kerana mungkin salah seorang daripada pelajar telah terkena jangkitan virus menyebabkan pelajar tersebut membawa virus ke sekolah dan menyebarkan kepada pelajar yang lain. Ini akan menyebabkan  gangguan pada aktiviti harian di persekolahan. Bidang pendidikan akan berada di ambang genting sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan segera ibarat telur dihujung  tanduk. Jadi, kesan pemerdagangan manusia ini amat memberi impak negatif terhadap pendidikan menyebabkan bidang ini sedikit terjejas.

Seterusnya, aktiviti pemerdagangan manusia ini sememangnya memberikan impak negatif terutamanya terhadap pendidikan rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana berleluasanya masalah ini menyebabkan tahap kerisauan ibu bapa semakin meningkat apabila mereka ingin menghantar anak-anak ke sekolah.  Mereka berasa gusar untuk membiarkan anak-anak ke sekolah sendirian kerana takut jika berlakunya hal-hal yang tidak diingini. Sebagai contoh, mungkin dalam perjalanan anak-anak ke sekolah mereka diperhatikan oleh agen-agen sindiket pemerdagangan manusia. Sekiranya ketika itu anak-anak bersendirian agen sindiket ini akan menggunakan peluang yang ada untuk menculik anak tersebut untuk diperdagangkan ke luar negara.  Ibu bapa tentunya akan risau sekiranya anaknya tidak pulang ke rumah pada waktu sedia kala. Mereka akan menyalahkan pihak sekolah kerana tidak prihatin akan keselamatan pelajar. Hal ini akan menjejaskan nama baik sekolah sekaligus kualiti pendidikan turut terkena biasnya. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti pemerdagangan manusia amat memberi kesan terhadap pendidikan di Malaysia.

Seterusnya, mungkin ramai yang tidak tahu dan tidak ambil peduli terhadap kesan jenayah ini. Setiap kejadian yang berlaku pasti ada akibatnya yang tersendiri contohnya dari segi ekonomi. Ramai di kalangan kita tidak sedar bahawa setiap tahun kira-kira 20 billion pound wang mengalir ke luar negara akibat daripada aktiviti tersebut. Keadaan menyebabkan berlakunya kerugian yang sangat besar terhadap negara dan ternyata pengaliran wang yang keluar akan menjejaskan ekonomi negara kita. Apabila ekonomi terjejas, bidang pendidikan juga akan terjejas disebabkan kekurangan kemudahan yang diperuntukkan untuk para pelajar. Hal ini akan menyebabkan pelajar berada dalam keadaan yang tidak selesa kerana persekitaran yang tidak kondusif. Prestasi pelajar dalam akademik juga akan menurun disebabkan kekurangan  tenaga pelajar dan sebagainya. Konklusinya, ekonomi negara yang terjejas turut menyebabkan pendidikan di negara Malaysia terkena tembiasnya.

1.2.5 LANGKAH-LANGKAH BAGI MENGATASI MASALAH INI

Langkah-langkah yang pragmatik lagi efektif mestilah dirancang serta dilaksanakan sebelum nasi menjadi bubur. Antara langkah yang harus diberikan penekanan ialah kerajaan Malaysia memandang serius mengenai isu ini dan telah menubuhkan Akta Anti Pemerdagangan Orang(Akta 670) pada tahun 2007 bagi mengheret si keji yang  bertanggungjawab dalam melakukan aktiviti terkutuk ini serta melindungi mangsa-mangsa pemerdagangan daripada terus menjadi hamba. Parlimen Malaysia juga telah mengesahkan bahawa akta ini telah berkuatkuasa pada 24 april 2007 dan para pesalah akan dikenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun serta dapat dikenakan hukuma kerana telah memperdagangkan orang bukan kanak-kanak bagi tujuaan eksploitasi. Pihak kerajaan Malaysia telah bertungkus lumus demi menyelesaikan masalah ini daripada terus menular tanpa titik nokhtahnya.
Selain itu, peranan pendidikan juga mampu mengatasi masalah ini. Umum mengetahui bahawa pendidikan terbahagi kepada dua iaitu pendidikan formal dan tidak formal. Melalui pendidikan formal iaitu pendidikan di sekolah, pihak sekolah wajiblah menerapkan isu-isu pemerdagangan  manusia dalam topik-topik yang berkaitan seperti prihatin. Dengan ini, pelajar dapat mengetahui maklumat-maklumat tentang aktiviti pemerdagangan manusia seperti menelefon 999 semasa ternampak aktiviti ini giat dijalankan. Malahan, pendidikan tidak formal iaitu pendidikan persekitaran juga memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha menangani masalah ini.  Ibu bapa mestilah bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan agama yang sempurna kepada anak-anak agar mereka tidak terjebat dalam aktiviti ini. Pendek kata, pendidikan juga memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah pemerdagangan manusia.
Di samping itu juga, langkah yang patut dilaksanakan adalah memperketatkan lagi kawalan sempadan Malaysia yang panjang dan kurang berpenghuni yang sering menjadi sarang sindiket-sindiket melakukan aktiviti haram dengan berleluasanya. Pihak kerajaaan mestilah mengerahkan askar-askar bahkan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab dalam menjaga sempadan negara supaya lebih berhati-hati serta memperkukuhkan lagi kawalan mereka supaya aktiviti pemerdagangan mausia tidak dapat masuk ke Malaysia dengan sewenang-wenangnya. Pelan Tindakan Nasional menentang jenayah aktiviti pemerdagangan manusia telah dilancarkan oleh YB Dato’ Seri Hishamuddin bin Hussien, Menteri Kementerian Dalam Negeri yang bertujuan untuk memperkukuhkan lagi undang-undang serta latihan dan memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang masalah ini.  Maka, jelaslah bahawa  pihak kerajaan sememangnya harus berusaha bagi mengetatkan kawalan di sempadan agar jenayah pemerdagangan manusia sukar untuk memasuki negara kita.
Seterusnya, peranan media massa juga amat penting dalam mengurangkan aktiviti pemerdagangan manusia ini.  Media massa seperti televisyen, radio dan sebagainya memainkan peranan yang penting dalam menjangkau setiap golongan masyarakat tentang bahaya jenayah ini sekiranya berleluasa dalam negara tanpa ada inisiatif bagi menghalang aktiviti daripada terus membiak. Hal ini demikian kerana media massa merupakan medium perhubungan yang berkesan bagi meningkatkan kesedaran serta membuka mata masyarakat tentang baginya jenayah ini.  Kebanyakan mmasyarakat kita sememangnya  terdedah dengan isu-isu semasa melalui media massa. Jadi, memang wajarlah dengan adanya bantuan dari segi media massa dapat membantu kerajaan kerana dapat membuatkan rakyat ingin bersama-sama turun padang dalam mengekang masalah ini. 
Akhir sekali, pihak kerajaan hendaklah menganjurkan program-program serta kempen-kempen yang berkaitan tentang bahananya kemasukan pemerdagangan manusia ke Malaysia. Kempen serta program yang akan diadakan mestilah dirancang serta diatur dengan rapi terlebih dahulu agar perkara tersebut mendapat sambutan daripada orang ramai. Sebagai contohnya, program yang akan diadakan itu mestilah menarik serta memberi manfaat manakala kempen pula mestilah mempamerkan gambar-gambar yang dapat menakutkan masyarakat seperti kesan pemerdagangan manusia terhadap pendidikan. Hal ini bertujuan supaya objektif program serta kempen tersebut berjaya  iaitu mengurangkan jenayah pemerdagangan manusia dalam negara. Jelaslah bahawa perancangan yang tersusun dapat mmeraih perhatian masyarakat agar sama-sama membanteras jenayah ini daripada menular dalam negara.

1.3 PENUTUP

Kesimpulannya, kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung  merupakan jalan penyelesaian yang paling efektif yang patut dipraktikkan bagi mengatasi masalah ini daripada terus menular dalam negara kita. Janganlah kita menjadi masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri   dan menyerahkan tugas mengekang masalah ini kepada pihak berkuasa sahaja tanpa membantu bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” jadi marilah bersama-sama mengerah tenaga bagi membanteras jenayah ini agar tiada lagi golongan yang akan diperdagangkan. Kita haruslah bertindak dengan segera agar nasi tidak menjadi bubur. Kerjasama yang jitu serta semangat yang berkobar-kobar merupakan pemangkin utama kejayaan kita semua dalam mengatasi masalah ini.  Semoga dengan penyifaran jenayah pemerdagangan manusia, kita dapat menzahirkan Wawasan 2020 dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia.
    


  











Isnin, 14 September 2015

RUANGAN AKADEMIK {hormon tumbuhan}



KESAN POSITIF DAN NEGATIF HORMON TUMBUHAN

Kini, bidang pertanian amat penting kerana sektor ini merupakan salah satu sumber makanan utama kepada kita untuk meneruskan kehidupan seharian. Jika diperhatikan  populasi masyarakat di negara kita semakin bertambah dari tahun ke tahun menyebabkan sumber makanan menjadi semakin berkurang. Oleh sebab itu, individu yang terlibat dalam sektor pertanian mestilah mencari inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran tanaman agar masalah ini dapat diatasi.  Salah satu cara bagi meningkatkan hasil tanaman tersebut adalah penggunaan hormon tumbuhan yang sesuai. Mengikut kajian hormon tumbuhan merupakan pemangkin kepada peningkatan hasil tanaman disamping faktor-faktor lain juga turut mempengaruhinya. Hormon tumbuhan adalah bahan kimia yang mampu menggalakkan pertumbuhan, perkembangan dan pergerakan tanaman. Antara hormon yang digunakan bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran hasil sumber makanan iaitu hormon auksin, hormon sitokinin, hormon giberelin, hormon etilena dan asid absisik. Terdapat beberapa kesan positif serta negatif hormon tumbuhan yang perlu diketahui dalam inisiatif meningkatkan lagi hasil tanaman bidang pertanian.

Antara hormon yang kerap digunakan dalam bidang  pertanian ini iaitu hormon etilena.  Hormon  etilena berbentuk gas apabila dalam keadaan semula jadi dan struktur kimianya sangat sederhana sekali. Bahan pengawalaturnya adalah ethephon dan ethrel. Selain itu, hormon gas etilena ini juga dihasilkan dari buah yang sudah tua.  Antara kebaikan menggunakan hormon ini dalam sektor pertanian adalah dapat mematangkan buah dalam jangka masa pendek iaitu buah menjadi cepat masak  contohnya pada buah tomato, pisang dan epal. Untuk mematangkan buah tersebut mestilah diperam dengan cara  diberikan etilena iaitu buah yang sudah tua serta masih berwarna hijau disimpan di dalam kantung ataupun guni yang tertutup supaya buah tersebut cepat masak. Selain itu, penggunaan hormon etilena juga menyebabkan buah masak dengan serentak dalam kuantiti yang banyak. Hal ini penting kerana sumber makanan akan bertambah malahan buah tersebut juga mudah untuk dikomersialkan. Di samping itu, hormon etilena juga berfungsi dalam merangsang percambahan biji benih semua jenis tanaman terutamanya tanaman berbuah. Kebaikan daripada percambahan biji benih mudah dirangsang ini adalah memudahkan para petani untuk menjaganya serta tidak memerlukan penjagaan yang rapi bagi memastikan pertumbuhan yang sihat.

Seterusnya, hormon auksin yang dalam bahasa yunaninya bermaksud tumbuh. Bahan pengawalatur bagi hormon ini adalah asid naftalena, asid indol, 2,4-D, 2,4,5-T dan MCPA. Hormon auksin sebenarnya dihasilkan pada bahagian koleoptil pucuk tumbuhan.  Antara kelebihan memberikan hormon auksin kepada tanaman iaitu dapat membantu dalam proses pemanjangan serta pertumbuhan sel. Apabila hormon auksin digunakan pada sebatang pokok, hormon tersebut akan tersebar ke seluruh bahagian pokok dan akan mempengaruhi pemanjangan serta pembelahan sel. Fenomena ini akan menyebabkan pokok menjadi tinggi serta membahagi secara aktif  untuk menghasilkan pokok yang cepat matang supaya menjimatkan masa pertumbuhannya.  Selain itu, kelebihan hormon auksin iaitu mengurangi jumlah biji dalam buah. Ini akan memudahkan kanak-kanak untuk makan buah tersebut sekaligus tidak membahayakan keselamatan mereka kerana tidak tertelan biji. Golongan warga emas juga dapat menikmati buah tersebut kerana tiada biji yang akan memberikan kesukaran kepada mereka untuk menelannya.  Proses penggunaan hormon untuk menghasilkan buah tanpa biji ini dikenali sebagai partenokarpi. 

Seterusnya, penggunaan hormon tumbuhan yang dapat memberi banyak kebaikan dalam bidang pertanian iaitu hormon giberelin. Giberelin merupakan hormon yang agak mirip dengan hormon auksin tetapi fungsinya sedikit berbeza. Hormon ini ditemukan oleh P. kurosawa  pada tahun 1926 di Jepun.  Bahan pengawalatur bagi hormon ini ialah asid giberelik. Antara fungsi hormon giberelin adalah merangsang pertumbuhan sama ada dari segi bahagian akar, batang bahkan juga daun. Dalam bidang pertanian hormon giberelin amat  penting dalam mengatasi masalah kekerdilan pada tanaman yang berpunca daripada adanya  mutasi. Tanaman yang kerdil akan kembali menjadi normal apabila diberikan hormon giberelin. Sebagai contohnya, mengikut kajian apabila asid giberelik diberikan kepada tanaman kacang yang kerdil tanaman kacang tersebut akan menjadi tinggi. Hal ini penting dalam memastikan hasil tanaman tersebut benar-benar berkualiti serta memberikan kepuasan kepada pembeli apabila dikomersialkan nanti. Seterusnya, giberelin juga menggalakkan percambahan biji benih serta menggalakkan pembahagian sel dan pemanjangan sel demi menghasilkan sebatang pokok yang matang agar sumber makanan tidak berkurang dan berterusan. 

Kesan penggunaan dua jenis hormon yang berbeza akan menambahkan lagi kualiti tumbuhan serta tanaman pokok terhadap bidang pertanian.  Antara gabungan hormon yang akan meningkatkan hasil tanaman adalah  hormon auksin dan hormon etilena. Antara kebaikan menggunakan hormon etilena serta hormon auksin secara serentak adalah dapat memacu pendebungaan. Sebagai contohnya, penggabungan dua jenis hormon yang berbeza ini telah diterapkan ke atas pokok mangga serta pokok nenas. Hasil daripada pemberian hormon ini secara serentak dapat memacu proses pembungaan sebelum waktunya. Ini akan memberikan keputusan yang baik kepada kedua-dua pokok kerana buah akan cepat terhasil dan bersedia untuk dipasarkan. Selain itu,  buah yang terhasil juga cepat masak serta tiada biji yang akan  memberikan kesan kepada peningkatan hasil tanaman. Proses inovasi ini  juga akan meningkatkan eksport dalam bidang pertanian kerana dapat menghasilkan buah yang unik serta memberi kenikmatan kepada pembeli. Kebaikan hasil daripada penggunaan kedua-dua hormon ini juga dapat melindungi kita daripada tertelan biji dan isi buahnya juga banyak. 

Walaubagaimanapun penggunaan hormon dalam kuantiti yang salah juga akan memberikan impak negatif terhadap tanaman dalam sektor pertanian. Antara keburukkan penggunaan hormon auksin secara berlebihan akan menyebabkan pertumbuhan terbantut kerana  pucuk tumbuhan yang pada sebelah sisinya terkena cahaya matahari akan dihambat oleh cahaya matahari tersebut. Sementara itu, pada sebelah sisi pucuk tumbuhan yang tidak terkena cahaya matahari akan tumbuh dengan cepat serta panjang kerana hormon ini tidak kena pancaran sinaran matahari. Hal ini akan menyebabkan pucuk tumbuhan akan cenderung mengikuti matahari atau yang disebut fototropisme. Apabila pertumbuhan pokok terbantut ini akan memberikan kesan terhadap hasil pengeluaran tanaman tersebut. Hal ini akan menyebabkan produktiviti tanaman menjadi semakin berkurang dan tidak berkualiti. Para petani tidak dapat menjual hasil tanaman mereka disebabkan pertumbuhan pokok yang terbantut tersebut memberikan kesan pada hasil penjualan mereka.

 Sementara itu, hormon etilena juga mempunyai keburukkannya yang tersendiri jika digunakan dalam kuantiti yang salah. Penggunaan hormon etilena akan membantutkan pertumbuhan dan perkembangan akar, daun, batang dan bunga. Hal ini akan melambatkan proses pertumbuhan pokok serta akan mengambil tempoh yang panjang untuk kita menikmati hasilnya nanti. Kuantiti buah yang dihasilkan juga sedikit serta buah tersebut akan menjadi cepat rosak serta buruk sebelum sempat dieksport. Ini akan menyebabkan kerugian kepada para peniaga kerana buah yang diperam dengan gas etilena selalunya tidak tahan lama serta cepat rosak. Seterusnya, penggunaan hormon etilena juga memberi kesan terhadap rasa asli buah-buahan tersebut. Keaslian rasa buah-buahan yang diperam dengan gas etilena jauh berbeza berbanding masak secara semulajadi kerana rasanya tidak semanis buah yang masak secara semulajadi di atas pokok.

 Di samping itu, hormon giberelin mempunyai kekurangannya yang tersendiri iaitu pembungaan terganggu serta pematangan buah turut terganggu. Seterusnya, tanaman yang diberikan hormon giberelin juga memerlukan jangka masa panjang untuk melihat hasilnya disebabkan proses pematangan buah serta pembungaan yang terganggu itu. Kesan daripada pembungaan yang terganggu menyebabkan buah yang terhasil bersaiz kecil berbanding sebelum ini. Ini akan menyebabkan para pembeli berasa tidak puas hati serta rugi jika membeli buah tersebut kerana isi dalamnya tidak banyak serta tidak manis disebabkan pertumbuhan yang terbantut serta pembungaan yang terganggu.

Kesimpulannya, pertambahan populasi penduduk dari tahun ke tahun menyebabkan sektor pertanian memerlukan transformasi dalam bidang tersebut agar dapat memenuhi keperluan asas yang utama dalam  kehidupan individu itu iaitu makanan.  Kesan penggunaan pelbagai hormon tumbuhan dalam bidang pertanian sememangnya  memberikan kelebihannya yang tersendiri walaupun ada kekurangannya jika disalahgunakan. Oleh itu, para petani mestilah bijak dalam mengawalatur kuantiti penggunaan hormon dalam tanaman mereka agar hasil yang akan diperoleh nanti berkualiti untuk dikomersialkan serta selamat untuk dimakan. Selain daripada hormon baja juga membantu dalam memajukan bidang pertanian tetapi penggunaan hormon  sememangnya amat memberikan impak positif dalam meningkatkan kualiti tanaman jika tahu bagaimana kebaikan serta keburukkan hormon tersebut memberi kesan terhadap bidang pertanian.  Jika bidang pertanian mendapat sambutan tidak kira dalam negara mahupun luar negara pasti bidang ini mampu memberi sumbangan yang besar terhadap pembangunan negara serta masyarakat dapat meneruskan kehidupan mereka kerana mempunyai sumber makanan yang mencukupi.